Bagi yang pernah membeli kereta, pasti sudah tahu bagaimana cara kiraan bayaran bulanan kereta dilakukan. Dan bagi yang masih muda dan baru hendak beli kereta baru, mesti tidak tahu macam mana cara kira monthly installment kereta. Jadi di artikel kali ini, saya akan berkongsikan dengan anda cara kira bayaran bulanan pinjaman kenderaan untuk panduan serta rujukan anda. Kenapa saya cakap pinjaman kenderaan dan bukan pinjaman kereta? Ada beza? Tiada beza pun. Hahaha.
Tidak kisahlah samada anda mahu beli bas, van, lori, pickup truck atau kereta sekalipun. Loan pinjaman di bank yang di maksudkan adalah car loan, car financing, auto financing dan juga vehicle financing. Nama sebutan sahaja berbeza tetapi membaca maksud kepada pinjaman loan yang sama!!!. Kalau saya tulis cara kira loan kereta sahaja, nanti ada pula orang tanya macam mana dengan cara kira kalau loan kalau beli bas, lori atau van? Jadi lebih baik saya tulis panduan cara kira loan pinjaman kenderaan sahaja. Ianya terpakai kepada semua jenis kenderaan. Jelas? Faham?
Panduan Kira Bayaran Bulanan (Monthly Installment) Kereta
Bila anda hendak beli kereta sebagai contoh. Anda kena tahu berapa harga kereta, berapa jumlah pinjaman loan kereta yang anda mahu ambil, berapa kadar interest yang dikenakan dan berapa jumlah tahun bayaran balik yang anda mahu ambil. Keempat-empat faktor ini akan mempengaruhi jumlah bayaran bulanan yang anda kena bayar nanti setiap bulan. Jom kita buat contoh kira kira ringkas dan terperinci (detail).
Asas Bayaran Loan Kereta : Jumlah Hutang Asas Pinjaman + Jumlah Hutang Interest = Jumlah keseluruhan yang patut dibayar
Jumlah Asas Pinjaman
- Anda beli kereta Perodua Myvi baru
- Anda pilih Myvi dari variant 1.5 AV yang berharga RM61853.90 on the road (termasuk insurans)
- Katakan anda pilih untuk berikan wang muka (downpayment) sebanyak RM6353.90
- Maka jumlah yang anda perlu pinjam dari bank adalah RM61853.90 – RM6353.90 = RM55500
Jumlah Interest
- Katakan anda berjaya mendapatkan loan pinjaman kenderaan dari CIMB Bank dengan kadar interest sebanyak 2.63% setahun
- Dan anda berhasrat untuk bayar selama 9 tahun
- Jumlah interest setahun = RM55500 x 2.63% setahun = RM1459.65
- Jumlah interest 9 tahun = RM1459.65 x 9 tahun = RM13136.85
Jumlah Hutang Pinjaman Keseluruhan
- Jumlah Asas Pinjaman + Jumlah Keseluruhan Interest
- RM55500 + RM13136.85 = RM68636.85
- Ini bermaksud, jumlah keseluruhan yang perlu anda bayar selama 9 tahun adalah RM68636.85
Bayaran Bulanan Pinjaman Kenderaan
- Jumlah hutang pinjaman / 108 bulan (9 tahun)
- RM68636.85 / 108 bulan = RM635.52 SEBULAN
Beginilah cara dan bagaimana untuk membuat kiraan berapakah monthly installment komitmen bulanan yang ada kena bayar sekiranya anda berhasrat untuk membeli kereta tersebut.
Cara Mudah Buat Kira Kira Secara Online
- [ CarLoanCalculatorMalaysia ] – sila klik link ini dan ikuti panduan video di bawah ini tentang bagaimana cara untuk menggunakannya.
Mudah sahaja bukan. Harap anda faham dan dapat mengikuti tentang cara pengiraan bayaran bulanan pinjaman kenderaan ini. Tidaklah sesukar mana. Kepada golongan muda atau mahasiswa yang baru lepasan universiti. Nasihat saya sebagai orang yang pernah melalui zaman belajar dan seterusnya bekerja. Di zaman harga semakin meningkat, kos sara hidup tinggi dan ketatnya pinjaman yang bakal diluluskan, maka adalah lebih baik buat keputusan bijak. Hanya saranan saya sahaja. Hak masing masing. Apa apa pun selamat membuat kira kira dan belilah kereta ikut kemampuan anda. Sekian.