Bila kerajaan mula melonggarkan sekatan negeri, boleh rentas negeri dan industri perlancongan mula dibuka. Maka sudah tentulah ramai rakyat yang mahu pergi bercuti di dalam negara. Saya sendiri sudah 2 tahun tidak boleh balik ke kampung. Dan kebenaran rentas negeri ini saya manfaatkan untuk balik ke kampung dan membawa mak dan ayah untuk bercuti. Dan tempat percutian yang saya maksudkan adalah di Pulau Babi Besar yang menempatkan Bayu Lestari Island Resort. Saya kongsikan sedikit kisah dan pengalaman saya ke sana. Jom baca.
Pada awalnya kami hendak ke Tunamaya Beach & Spa Resort di Desaru Johor. Temanya adalah kami inginkan suasana ala ala “Resort” dan “Pantai”. Tetapi kami belum pernah ke pulau dan menikmati air laut pantai yang cantik dan jernih. Jujur cakap belum pernah. Pantai Batu Ferringhi Penang pun tidak secantik ini. Jadi kami memilih Bayu Lestari Island Resort yang terletak di Pulau Babi Besar. Saya sendiri tidak pasti kenapa nama pulau terbabit seperti itu. Dan ada yang menyatakan nama terkini pulau tersebut adalah Pulau Besar Johor. Yang pasti, kedua dua nama tersebut merujuk kepada pulau yang sama. Jelas ya.
Pengalaman Bercuti Ke Bayu Lestari Island Resort Mersing Johor
Pulau Besar ini terletak di perairan Mersing Johor. Dengan kata lain, untuk ke Pulau Babi Besar ini, anda perlu menaiki Jeti Mersing (Mersing Harbour Centre). Jeti Mersing ini adalah jeti yang menghubungkan Pulau Tioman, Pulau Rawa, Pulau Pemanggil dan Pulau Besar. Kalau anda hendak ke salah satu pulau ini, maka Jeti Mersing adalah tempat yang harus anda tuju. Jelas ya. Walaupun saya orang Johor, ini adalah pengalaman pertama kali saya untuk ke pulau yang terletak di Mersing Johor. Baru tahu kewujudan pulau cantik yang ada dan wujud di Johor.
Pulau Besar ini dikendalikan oleh Bayu Lestari Island Resort. Dengan kata lain, kalau anda hendak bercuti ke Pulau Babi Besar, antara resort yang perlu anda cari untuk booking tempah bilik penginapan di Agoda misalnya, anda kena membuat carian resort yang bernama “Bayu Lestari Island Resort” ini ya. Oleh kerana ini adalah pengalaman percutian pertama saya ke “pulau”, jadi saya mahu kongsikan jenis jenis kos yang terlibat yang perlu anda sedia supaya anda tidak terkejut dengan wang yang perlu anda keluar dan belanjakan. Harap baca betul betul ya.
Senarai Kos Percutian Pulau Besar Johor
- [ BayuLestariIslandResort ] – kami membeli tiket penginapan di Bayu Lestari Island Resort melalui Agoda dengan harga RM510 untuk 2 hari 1 malam.
- Kos Bot (pergi & balik) – RM100 seorang untuk dewasa dan RM90 seorang untuk kanak kanak bawah 12 tahun. Percuma bawah 2 tahun.
- Kos Makanan – RM80 seorang untuk dewasa dan RM65 seorang untuk kanak kanak bawah 12 tahun. Percuma bawah 2 tahun. Makanan termasuk makan tengah hari (lunch), makan malam (dinner) dan sarapan pagi (breakfast).
Bilik resort yang kami pilih berharga RM510 semalam ini menawarkan 5 buah katil single. Oleh kerana kami hanya berlima sahaja ke sini, maka pakej bilik inilah yang kami ambil. Di Agoda, pakej bilik ini dipaparkan sebagai “Villa” dan sesuai untuk family.
Untuk pergi ke pulau perlu menaiki bot atau feri. Maka kos ini ditanggung oleh kita sendiri. Saya pergi ke resort Bayu Lestari ini dengan 3 dewasa dan 2 kanak kanak. Jadi kos bot adalah RM100 x 3 = RM300 untuk dewasa. RM90 x 2 = RM180 untuk kanak kanak. Kos keseluruhan bayaran bot pergi balik adalah RM300 + RM180 = RM480.
Di Pulau Babi Besar ini tidak terdapat kedai atau restoran makanan. Pakej penginapan bilik di Bayu Lestari Island Resort ini juga tidak di datangkan sekali dengan sarapan percuma. Maka pakej makanan yang ditawarkan adalah seperti ini iaitu makan tengah hari, makan malam dan juga sarapan pagi. Jadi kos makanan adalah RM80 x 3 = RM240 untuk dewasa. RM65 x 2 = RM130 untuk kanak kanak. Kos keseluruhan untuk makanan sepanjang 2 hari 1 malam adalah RM240 + RM130 = RM370.
Jumlah keseluruhan perbelanjaan saya di Bayu Lestari Island Resort untuk 3 orang dewasa dan 2 kanak kanak selama 2 hari 1 malam adalah RM510 (bilik) + RM480 (bot) + RM370 (makanan) = RM1360. Oleh kerana ini adalah percutian ke pulau saya yang pertama, maka saya sendiri sebenarnya agak terkejut dengan kos wang yang perlu saya keluar dan belanjakan. Dari sisi lain, percutian seperti ini memberikan saya lebih banyak info berkenaan perbelanjaan yang saya perlu tahu kalau ingin bercuti lagi ke pulau yang lain seperti ini.
Bagaimana dengan pengalaman percutian di Pulau Besar ini? Adakah Pulau Babi Besar ini berbaloi untuk bercuti santai bersama keluarga? Kita ketepikan dahulu soal kos ya. Kalau anda tanya saya, percutian ke pulau pulau seperti ini biasanya hanya untuk anda yang sukakan permandangan dan juga suasana pantainya sahaja. Bagi saya, resort di Bayu Lestari ini adalah hampir sama sahaja dengan resort yang lain. Mungkin sedikit “kurang” menyerlah bagi saya. Ada banyak aspek yang boleh ditambah dan diperbaiki lagi. Saya berikan skor 7/10.
Berkenaan resort Villa dengan 5 katil yang kami dapat bagi saya juga kurang menyerlah. Tiada ciri wow. Pengalaman tidur tidak ada masalah. Sedap dan selesa. Ada kipas dan juga aircond. Bilik air pun kurang wow bagi saya. Saya boleh katakan ianya biasa biasa sahaja. Saya berikan skor 6.5/10.
Ada satu benda yang saya agak berpuas hati di Bayu Lestari Island Resort ini iaitu pantainya. Pantainya bersih, jernih dan boleh nampak ikan. Kawasan pantai pula agak landai. Jadi kawasan pesisir pantai boleh kita berjalan dan berenang agak jauh dan tanpa bimbang air pantai menjadi dalam secara tiba tiba. Jadi seronoklah dapat bermandi manda di pantai. Boleh dikatakan pengalaman berenang dan mandi manda di pantai yang bersih, jernih dan cantik merupakan pengalaman yang paling berbaloi jika anda menginap ke sebuah pulau seperti ini. Saya berikan skor 8.5/10.
Sebelum saya terlupa. Kos kos yang saya kongsikan di atas ini adalah dari pengalaman saya bercuti selama 2 hari 1 malam sahaja. Kalau anda bercuti minima 3 hari dan 2 malam, biasanya orang akan mengambil pakej tambahan yang lain seperti Island Hopping, Snorkeling dan lain lain. Seperti biasalah, pakej tambahan ini memerlukan anda mengeluarkan lebih bajet belanja. Saya secara peribadi lebih menyarankan anda untuk mengambil percutian minima selama 3 hari dan 2 malam untuk lebih merasai pengalaman bercuti di sebuah pulau kerana lebih berbaloi dan cukup masa untuk anda melakukan pelbagai aktitivi yang ada.
Review saya berkenaan pengalaman bercuti di Bayu Lestari Island Resort ini adalah berdasarkan pengalaman sepanjang 2 hari 1 malam SAHAJA. Dan masa yang pendek ini tidak memungkinkan saya untuk mengambil pakej lain untuk aktiviti tambahan yang saya sebutkan tadi. Untuk masa yang pendek, saya boleh katakan percutian ini sangat sesuai untuk keluarga. Kalau anda sukakan pantai, maka pantai di Pulau Besar Mersing ini adalah berbaloi untuk anda cuba.
Persediaan Ketika Travel Dengan Kenderaan
- Insurans Kemalangan (Personal Accident/PA) – pampasan ketika berlaku kemalangan
- Medical card – untuk bantuan perlindungan kos perubatan
- Servis Kenderaan – sila pastikan kenderaan anda seperti kereta melakukan proses servis asas bagi menjamin tahap optimum ketika anda travel dengan kenderaan sendiri
- Wise Malaysia – aplikasi money exchange online. Boleh beli & tukar currency matawang mudah ketika di luar negara
Sebenarnya apabila kita berjalan jalan travel samada dalam negara atau luar negara dengan kenderaan. Kereta wajib kena servis terlebih dahulu. Kemudian, risiko seperti jatuh sakit atau kemalangan (accident) juga boleh berlaku. Risiko tinggi yang saya maksudkan adalah dari segi beban kewangan. Dan beban kewangan ini dapat kita kurangkan dengan adanya bantuan perlindungan seperti di atas ini. Orang kata, sediakan payung sebelum hujan. Inilah maksudnya. Lebih baik ada buat preparation berbanding tidak buat apa apa. Dan kisah saya bercuti ke Pulau Besar Mersing dan bawa keluarga ini pun kena fikirkan tentang safety dari segi keselamatan dan juga kewangan. Seronok seronok juga. Cuma kena beringat. BYE!!!.